18 FEBRUARI 2024 (AHAD)
Program Amanat YAB Menteri Besar Kedah kepada Pentadbiran Tanah Negeri Kedah Tahun 2024 telah diadakan di Dewan Seri Mentaloon pada hari ini.
Turut hadir bersama dalam program ini adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Seri Norizan bin Khazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, YB. Dato’ Nik Azhan Hakim bin Nik Mahmood, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YBhg. Dato’ Mohd Fauzi bin Mustaffa, Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Kedah, YBhg. Dato’ Mohd Shahadan bin Abdullah, Pentadbir-Pentadbir Tanah Daerah, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta warga kerja Pentadbiran Tanah Negeri Kedah.
Dalam amanat beliau, YAB Menteri Besar Kedah telah merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga kerja Pentadbiran Tanah Negeri Kedah di atas kejayaan melaksanakan kutipan hasil berjumlah RM356.76 juta pada tahun 2023. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.85% iaitu bersamaan RM12.8 juta pada tahun 2022. Bagi tahun 2024 pula, Kerajaan Negeri Kedah mensasarkan anggaran kutipan hasil keseluruhan berjumlah RM501 juta.
Selain itu, beliau merakamkan mengucapkan tahniah kepada seluruh warga Pentadbiran Tanah Negeri Kedah di atas kejayaan membangunkan Sistem i-UJKT bagi proses Pecah Sempadan Serentak dengan Ubah Syarat serta Penyerahan dan Pemberimilikan Semula yang berjaya menyingkatkan tempoh proses daripada tempoh 24 bulan kepada 100 hari sahaja.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada warga kerja Pentadbiran tanah untuk terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri iaitu “Kedah empat orang miskin berteduh, tempat orang kaya menabur bakti”.
Tidak ketinggalan, YAB Menteri Besar Kedah juga berkesempatan melancarkan Kaedah-Kaedah Hakmilik Strata (Kedah Darul Aman) Tahun 2023 dan Resolusi Pentadbiran Pemukiman Pentadbiran Tanah Tahun 2024.
Kaedah-Kaedah Hakmilik Strata menggariskan tentang pelaksanaan cukai petak bagi skim strata manakala Resolusi Pemukiman Pentadbiran Tanah Kedah pula mengandungi 8 strategi kutipan hasil yang mensasarkan tambahan kutipan hasil sekitar RM50 juta pada tahun ini.
Program diakhiri dengan Majlis Penyerahan Cek Bayaran Cukai Tanah Tahun 2024 oleh 9 buah syarikat dan GLC yang telah menjelaskan bayaran cukai tanah bagi tahun 2024 berjumlah RM12.9 juta dan penyampaian Sijil Penghargaan Bagi Kutipan Hasil Keseluruhan Tertinggi Tahun 2023 kepada Pejabat Tanah Yan, Sik dan Kubang Pasu.
“HASIL UNTUK PEMBANGUNAN”
“MEMINIMUMKAN KETIRISAN, MENGOPTIMUMKAN KUTIPAN HASIL”