PERTANDINGAN KAROM TERTUTUP PTG KEDAH 2025

13 November 2025 (KHAMIS) – Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah melalui Kelab Sukan dan Rekreasi telah menganjurkan Pertandingan Karom Tertutup PTG Kedah pada 13 November 2025 bertempat di Lobi Utama PTG Kedah. Penganjuran program ini adalah selaras dengan usaha meningkatkan kesejahteraan warga kerja serta menggalakkan penglibatan dalam aktiviti sukan dan rekreasi. Pertandingan ini mendapat sambutan amat baik daripada pegawai dan kakitangan daripada pelbagai bahagian. Para peserta berentap secara sihat dalam suasana yang meriah. Hadiah wang tunai turut disediakan kepada para pemenang bagi kategori utama dan kategori Loser Pool. Program ini diharap dapat memperkukuhkan hubungan silaturahim, memupuk kerjasama berpasukan dan meningkatkan motivasi warga kerja PTG Kedah. Pihak pentadbiran merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan penganjuran pertandingan ini.

Loading

SESI PEMBENTANGAN JAWATANKUASA SEMAKAN HASIL (LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA DAN FI LAIN YANG BERKAITAN) PENTADBIRAN TANAH KEPADA AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI KEDAH

8 Oktober 2025 (RABU) – Sesi Pembentangan Jawatankuasa Semakan Hasil (Lesen Pendudukan Sementara dan Fi Lain Yang Berkaitan) Pentadbiran Tanah kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah telah bermula jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam. Majlis pembentangan ini telah dihadiri oleh YAB. Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, bersama-sama Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah. Turut hadir ialah YB. Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Wira Haji Syed Khairol Anuar bin Syed Abidin, Pegawai Kewangan Negeri Kedah, serta YBhg. Dato’ Haji Muhamad Arof bin Darus, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah. Sesi ini bertujuan membentangkan penilaian semula terhadap kadar hasil tanah, termasuk Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dan fi-fi lain yang berkaitan, bagi memastikan pentadbiran hasil tanah di Negeri Kedah dilaksanakan dengan lebih cekap, berkesan serta selaras dengan keperluan semasa pembangunan negeri. Perbincangan dan maklum balas daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam sesi ini amat penting bagi memperkukuh dasar hasil negeri yang mampan dan inklusif, sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri Kedah untuk mentadbir urus tanah secara berintegriti, sistematik dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat. Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, serta seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah atas sokongan berterusan terhadap usaha memperkukuh sistem hasil tanah negeri. Diharapkan sesi ini akan menjadi platform penting dalam memperkasakan tadbir urus tanah yang progresif dan mampan di Negeri Kedah Darul Aman. #PTGKedah

Loading

USAHASAMA STRATEGIK BTMK DAN MIMOS MALAYSIA BERHAD JAYAKAN KEMPEN PENGESAHAN MYDIGITAL ID DI PTG NEGERI KEDAH

7 Oktober 2025 (SELASA) – Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah telah berjaya menganjurkan program verifikasi identiti digital menerusi penganjuran Booth MyDigital ID hasil kerjasama strategik di antara Bahagian Teknologi Maklumat Kerajaan (BTMK) dan MIMOS Malaysia Berhad, sebuah agensi di bawah Kementerian Digital. Program yang berlangsung selama sehari ini, bermula dari jam 9:30 pagi hingga 4:30 petang di Perkarangan Lobi PTG Kedah, bertujuan untuk memudahcarakan proses pengesahan cap jari bagi kakitangan yang telah melengkapkan pendaftaran MyDigital ID secara dalam talian. Keperluan untuk pengesahan fizikal ini adalah langkah kritikal dalam memastikan integriti dan keselamatan identiti digital kerajaan. Kejayaan penganjuran kempen ini dilihat sebagai penyumbang utama kepada pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pendaftaran MyDigital ID, yang mana statistiknya dipantau secara langsung oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi semua Setiausaha Kerajaan Negeri. Komitmen yang ditunjukkan oleh warga kerja PTG Kedah dalam menjayakan kempen ini amat membanggakan. Kehadiran mereka untuk melengkapkan proses verifikasi, dengan membawa Kad Pengenalan fizikal yang diwajibkan, merupakan manifestasi sokongan padu terhadap inisiatif digitalisasi kerajaan. Inisiatif ini selari dengan agenda negara dalam memperkukuh ekosistem perkhidmatan awam digital yang selamat, inklusif, dan cekap. Kerjasama di antara BTMK dan MIMOS ini dijangka akan diteruskan bagi memastikan momentum pendaftaran dan pengesahan MyDigital ID di peringkat negeri terus dipertingkatkan. Pihak penganjur mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat, termasuk kakitangan PTG Kedah, atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan inisiatif digital negara ini.

Loading

PROGRAM PENANAMAN POKOK BAKAU ANJURAN PEJABAT PENGARAH TANAH DAN GALIAN NEGERI KEDAH

2 SEPTEMBER 2025 (SELASA) – Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah pada hari ini telah menganjurkan Program Penanaman Pokok Bakau yang diadakan di Kampung Jeruju, Mukim Jerlun bermula seawal jam 7.30 pagi. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif bagi merealisasikan Program Penanaman 2.2 Juta Pokok yang merupakan titah daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman. Majlis ini telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah. Dalam ucapan beliau, beliau menekankan kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama. Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah telah mengambil inisiatif menanam sebanyak 1,000 batang anak pokok bakau pada hari ini sebagai simbolik sokongan terhadap usaha penghijauan negeri Kedah. Turut hadir memeriahkan program ini ialah Pengarah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, YBhg. Dato’ Haji Muhamad Arof bin Darus, Setiausaha Jemaah Dato’ Negeri Kedah, YBhg. Dato’ Haji Mohammad bin Che Mai, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh, YB. Encik Mohd Ashraf Mustaqim bin Badrul Munir, serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu, YBrs. Encik Badrulhisham bin Haji Sulaiman. Kehadiran dif-dif kehormat ini telah menunjukkan kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi dan masyarakat dalam menjayakan agenda kelestarian alam sekitar. Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai jabatan kerajaan, swasta, serta pelajar institusi tinggi. Penanaman pokok bakau ini bukan sahaja dapat mengukuhkan ekosistem pesisir pantai dan mengelakkan hakisan, malah memberi manfaat besar dari segi biodiversiti, rekreasi dan kesejahteraan komuniti. Ia juga menjadi medan pendidikan alam sekitar kepada golongan muda agar terus menyemai rasa cinta kepada alam semula jadi. Diharapkan penganjuran program ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif hijau di Negeri Kedah. Dengan sokongan kepimpinan negeri, agensi berkaitan, institusi pendidikan serta masyarakat setempat, usaha pemuliharaan hutan bakau diyakini akan terus subur demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang. Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat bagi menjayakan program pada hari ini. #PTGKedah

Loading

LAWATAN PEJABAT PENGARAH TANAH DAN GALIAN NEGERI SELANGOR KE PEJABAT PENGARAH TANAH DAN GALIAN NEGERI KEDAH

12 OGOS 2025 (SELASA) Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor telah mengadakan lawatan ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah pada hari ini. Lawatan ini diadakan sebagai sebahagian daripada usaha PTG Selangor untuk mengemaskini prosedur berkaitan tatacara dan tatakelola perlombongan mineral di Negeri Selangor, khususnya yang melibatkan potensi perlombongan bahan mineral di dalam hutan simpan. Delegasi Negeri Selangor seramai 21 orang telah hadir dan diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Pembanguan Dan Kemajuan Tanah) Encik Ahmad fitri bin Ahmad. Tujuan lawatan ini adalah untuk mendapatkan pandangan, berkongsi pengalaman serta mempelajari amalan terbaik berkaitan pengurusan dan pelaksanaan aktiviti perlombongan bahan mineral di dalam hutan simpan. Hadir menyambut rombongan ialah Pengarah PTG Kedah, YBhg. Dato’ Haji Muhamad Arof bin Darus, bersama pegawai-pegawai kanan PTG Kedah. Kehadiran ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan kerjasama antara negeri dalam pengurusan sumber mineral secara berhemah dan mampan. Pihak PTG Kedah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian PTG Selangor mengadakan lawatan ini. Semoga hubungan strategik ini dapat terus diperkukuhkan, seterusnya menyumbang kepada pengurusan sumber mineral negara yang lebih cekap, teratur dan bertanggungjawab.

Loading

MAJLIS PERJUMPAAN BERSAMA PENTADBIRAN TANAH NEGERI TERENGGANU

5 Ogos 2025 (Selasa) – Sempena lawatan kerja ke Terengganu, satu Majlis Perjumpaan Bersama Pentadbiran Tanah Negeri Terengganu telah diadakan pada sebelah malam sebagai tanda penghargaan dan jalinan erat antara Pentadbiran Tanah Negeri Kedah dan Terengganu. Majlis ini menghimpunkan barisan kepimpinan serta pegawai kanan dari kedua-dua negeri dalam suasana santai, harmoni dan penuh muhibah. Majlis ini telah dihadiri oleh YBhg. Dato’ Haji Muhamad Arof bin Darus, DSDK., SDK., AMK., BCK., Pengarah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah dan YBhg. Dato’ Tun Ahmad Faisal bin Tun Abdul Razak, D.P.M.T., PJK., Pengarah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu, bersama barisan pegawai kanan kedua-dua pihak. Perbincangan santai turut berlangsung melibatkan perkongsian pengalaman, cadangan penambahbaikan sistem urus tadbir tanah serta pelaksanaan sistem e-Tanah di negeri masing-masing. Majlis ini bukan sahaja menjadi ruang interaksi santai tetapi turut memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negeri dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan tanah kepada rakyat. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Pentadbiran Tanah Negeri Terengganu atas sambutan mesra, layanan penuh profesionalisme serta komitmen dalam mempererat hubungan dua hala ini. #PTGKedah

Loading