‎KERAJAAN NEGERI RAI 363 PENERIMA APC NEGERI KEDAH 2025

28 APRIL 2026 (SELASA) – Seramai 363 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Perkhidmatan Awam Negeri Kedah Tahun 2025 yang terdiri daripada 13 orang Pegawai Tadbir Negeri dan 350 orang pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri Kedah diraikan dimana penganugerahan ini menjadi simbol penghargaan terhadap komitmen, dedikasi dan kecemerlangan yang ditonjolkan oleh para penerima sepanjang tahun 2025. ‎ ‎Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata pengiktirafan ini bukan sekadar penghargaan, malah pemangkin semangat dalam terus mempertingkatkan prestasi kerja, memupuk budaya kecemerlangan serta mencetus inspirasi dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan Negeri Kedah. ‎ ‎”Perkara ini adalah selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang merupakan satu kerangka strategik komprehensif yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk mentransformasikan sektor perkhidmatan awam agar lebih dinamik, efisien dan berintegriti tinggi. ‎ ‎”Kita sebagai penjawat awam, harus mempunyai sifat-sifat keterbukaan, kekitaan, turun padang, mempunyai sifat-sifat insaniah, rohani dan jasmani yang stabil agar dapat mengekalkan kualiti kecemerlangan perkhidmatan awam kita. ‎ ‎”Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut mengadakan Seminar Psikologi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Tahun 2026 yang bakal berlangsung pada 29 April 2026 bertemakan “Sejahtera Minda, Kompetensi Diperkasa, Prestasi Luar Biasa”, yang dilihat amat bertepatan dengan keperluan penjawat awam masa kini dalam memastikan keseimbangan antara kesejahteraan mental dan kecemerlangan prestasi kerja. ‎ ‎”Penganjuran seminar ini merupakan satu platform penting dalam meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran berkaitan kesejahteraan mental di kalangan penjawat awam dimana ia memberi penekanan kepada pembinaan daya ketahanan mental (resilience) serta penguasaan kemahiran daya tindak (coping skills) dalam menghadapi cabaran persekitaran kerja yang semakin kompleks. ‎ ‎”Belajarlah dalam menetapkan keseimbangan dari segi pekerjaan, keluarga dan rakan-rakan. Selain itu, pengurusan tekanan juga wajib dititikberatkan, pengurusan masa yang baik dan belajar untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan,” katanya. ‎ ‎Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Perkhidmatan Awam Negeri Kedah Tahun 2025 di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini. ‎ ‎Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Fauzi Mustaffa; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Muhamad Mahazi Ibrahim dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Sharhida Nazuha Saad. ‎ ‎”Dalam perkembangan sama, Norizan berkata BPSM turut melancarkan Pelan Operasi Latihan (2026-2030) dimana pelan ini telah dirangka bagi tempoh 2026 hingga 2030 sebagai satu inisiatif strategik untuk memperkukuh pembangunan modal insan Perkhidmatan Awam Negeri Kedah. ‎ ‎”Pelan ini dilaksanakan melalui Program Pembangunan Kompetensi (CDP) dan Program Pembangunan Insaniah (HDP), serta diperkukuh dengan pendekatan Training Road Map (TRM) yang melibatkan 48 klasifikasi dan 298 skim perkhidmatan secara lebih tersusun dan berimpak,” ujarnya.     

Loading

MAJLIS BERBUKA PUASA PEJABAT PENGARAH TANAH DAN GALIAN NEGERI KEDAH TAHUN 2026 / 1447H

10 MAC 2026 (SELASA) – Majlis Berbuka Puasa Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah tahun 2026 / 1447H telah diadakan di perkarangan PTG Kedah pada hari ini. Majlis diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Dato’ Haji Muhamad Arof bin Darus, DSDK.,SDK.,AMK.,BCK. Pegawai PTG Kedah, serta warga kerja dan ahli keluarga telah hadir memeriahkan majlis. YBhg. Dato’ Pengarah PTG Kedah memulakan majlis dengan ucapan aluan ringkas dan diteruskan dengan sesi penyerahan sumbangan Duit Raya kepada anak-anak kakitangan yang berumur bawah 18 tahun oleh YBhg Dato’ serta Pegawai-Pegawai Wanita PTG. Tidak ketinggalan bacaan doa yang dipimpin oleh Penolong Akauntan Bahagian Kewangan PTG, Encik Muhd Fadliesyam bin Saad sebelum berbuka puasa dan sesi menjamu selera. Terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan PTG yang telah hadir dan bertungkus-lumus menjayakan majlis ini. Ianya wajar dijadikan program tahunan yang menjadi salah satu wadah pengerat silaturrahim sesama warga kerja PTG.

Loading

PEMAKLUMAN INSENTIF OLEH KERAJAAN NEGERI KEDAH

8 FEBRUARI 2026 (AHAD) – Bermula 01 Januari 2026, Kerajaan Negeri Kedah memberikan insentif kepada pembayar cukai tanah yang menjelaskan tunggakan cukai tanah secara keseluruhan dengan mengecualikan penggenaan caj tunggakan denda lewat. Pemberian insentif ini berkuatkuasa sehingga 30 September 2026. Syarat bagi melayakkan pembayar cukai tanah mendapat insentif ini adalah seperti berikut: 1. Menjelaskan cukai tanah dan tunggakan secara sekaligus; dan 2. menjelaskan bayaran sebelum 30 September 2026; Bagi pembayar yang telah menjelaskan bayaran, lebihan bayaran akan dikreditkan semula ke dalam akaun bayaran cukai tanah Tuan/Puan. Caj denda lewat bagi tahun 2026 akan berjalan seperti biasa bermula 01 Jun 2026 sekiranya tiada bayaran dijelaskan. Sekian, terima kasih.

Loading

LAWATAN KERJA YBHG. DATO’ PENGARAH TANAH DAN GALIAN NEGERI KEDAH KE PEJABAT DAERAH DAN TANAH KUALA MUDA

18 JANUARI 2026 (AHAD) – YBhg. Dato’ Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Dato’ Haji Muhamad Arof bin Darus, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda pada hari ini. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau pelaksanaan urusan pentadbiran tanah di Daerah Kuala Muda serta membincangkan perkara-perkara berkaitan pelaksanaan dasar dan pengurusan tanah negeri. Ketibaan YBhg. Dato’ Pengarah telah disambut oleh Tuan Pegawai Daerah Kuala Muda, Encik Azmin bin Zainol Abidin, bersama barisan pentadbiran dan pegawai-pegawai jabatan. Turut mengiringi YBhg. Dato’ Pengarah dalam lawatan ini ialah Puan Timbalan Pengarah (Pembangunan), Puan Timbalan Pengarah (Pendaftaran) serta pegawai dan kakitangan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah. Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah merakamkan ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda atas sambutan mesra serta kerjasama yang diberikan sepanjang lawatan ini. #PTGKedah

Loading

PROGRAM AMANAT YAB MENTERI BESAR KEDAH KEPADA PENTADBIRAN TANAH NEGERI KEDAH TAHUN 2026

12 JANUARI 2026 (ISNIN) – Program Amanat YAB Menteri Besar Kedah kepada Pentadbiran Tanah Negeri Kedah Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Seri Mentaloon pada hari ini. Program ini menjadi platform utama penyelarasan dasar dan hala tuju pentadbiran tanah Negeri Kedah bagi tahun 2026 merangkumi aspek pembangunan tanah, integriti, pemerkasaan perkhidmatan serta pemantapan sistem tanah secara berpusat di seluruh negeri. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Dato’ Haji Muhamad Arof bin Darus, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah, TPj Dato’ Nazli Rashid Sulong, Pegawai Daerah/Pentadbir Tanah, Pegawai-pegawai dan kakitangan pentadbiran tanah dari seluruh negeri, serta Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan. Program turut disusuli sesi bacaan Ikrar Bebas Rasuah sebagai simbol komitmen seluruh Pentadbiran Tanah Negeri dalam memperkukuh integriti serta memastikan tadbir urus tanah dijalankan dengan berkesan, telus dan beramanah. Majlis juga diselitkan dengan penyampaian penghargaan kepada seluruh pentadbiran tanah daerah atas komitmen dan usaha gigih atas kejayaan kutipan hasil keseluruhan bagi tahun 2025. PTG Kedah merakamkan ucapan penghargaan kepada semua warga pentadbiran tanah negeri atas dedikasi memastikan hasil negeri dikutip dan diurus secara teratur demi kepentingan rakyat dan agenda pembangunan Negeri Kedah Darul Aman. Jutaan terima kasih juga kepada seluruh agensi yang terlibat dalam menjayakan program pada hari ini. #PTGKedah #HasilUntukPembangunan #UnitMediaPTG

Loading

LAWATAN KERJA YBHG. DATO’ PENGARAH TANAH DAN GALIAN NEGERI KEDAH KE PEJABAT DAERAH DAN TANAH BANDAR BAHARU

23 DISEMBER 2025 (SELASA) – YBhg. Dato’ Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu pada hari ini. Lawatan ini bertujuan bagi membincangkan serta meneliti perkara-perkara berkaitan pentadbiran tanah di daerah Bandar Baharu. Ketibaan YBhg. Dato’ Pengarah telah disambut oleh Tuan Pegawai Daerah Bandar Baharu bersama barisan pegawai pentadbiran tanah daerah. Turut hadir dalam lawatan kerja ini ialah Puan Timbalan Pengarah (Pembangunan), Puan Timbalan Pengarah (Pendaftaran) serta para pegawai dan kakitangan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah. Pihak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu atas sambutan serta kerjasama yang diberikan sepanjang lawatan ini. #PTGKedah

Loading