28 APRIL 2026 (SELASA) – Seramai 363 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Perkhidmatan Awam Negeri Kedah Tahun 2025 yang terdiri daripada 13 orang Pegawai Tadbir Negeri dan 350 orang pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri Kedah diraikan dimana penganugerahan ini menjadi simbol penghargaan terhadap komitmen, dedikasi dan kecemerlangan yang ditonjolkan oleh para penerima sepanjang tahun 2025.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata pengiktirafan ini bukan sekadar penghargaan, malah pemangkin semangat dalam terus mempertingkatkan prestasi kerja, memupuk budaya kecemerlangan serta mencetus inspirasi dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan Negeri Kedah.
”Perkara ini adalah selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang merupakan satu kerangka strategik komprehensif yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk mentransformasikan sektor perkhidmatan awam agar lebih dinamik, efisien dan berintegriti tinggi.
”Kita sebagai penjawat awam, harus mempunyai sifat-sifat keterbukaan, kekitaan, turun padang, mempunyai sifat-sifat insaniah, rohani dan jasmani yang stabil agar dapat mengekalkan kualiti kecemerlangan perkhidmatan awam kita.
”Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut mengadakan Seminar Psikologi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Tahun 2026 yang bakal berlangsung pada 29 April 2026 bertemakan “Sejahtera Minda, Kompetensi Diperkasa, Prestasi Luar Biasa”, yang dilihat amat bertepatan dengan keperluan penjawat awam masa kini dalam memastikan keseimbangan antara kesejahteraan mental dan kecemerlangan prestasi kerja.
”Penganjuran seminar ini merupakan satu platform penting dalam meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran berkaitan kesejahteraan mental di kalangan penjawat awam dimana ia memberi penekanan kepada pembinaan daya ketahanan mental (resilience) serta penguasaan kemahiran daya tindak (coping skills) dalam menghadapi cabaran persekitaran kerja yang semakin kompleks.
”Belajarlah dalam menetapkan keseimbangan dari segi pekerjaan, keluarga dan rakan-rakan. Selain itu, pengurusan tekanan juga wajib dititikberatkan, pengurusan masa yang baik dan belajar untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Perkhidmatan Awam Negeri Kedah Tahun 2025 di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Fauzi Mustaffa; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Muhamad Mahazi Ibrahim dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Sharhida Nazuha Saad.
”Dalam perkembangan sama, Norizan berkata BPSM turut melancarkan Pelan Operasi Latihan (2026-2030) dimana pelan ini telah dirangka bagi tempoh 2026 hingga 2030 sebagai satu inisiatif strategik untuk memperkukuh pembangunan modal insan Perkhidmatan Awam Negeri Kedah.
”Pelan ini dilaksanakan melalui Program Pembangunan Kompetensi (CDP) dan Program Pembangunan Insaniah (HDP), serta diperkukuh dengan pendekatan Training Road Map (TRM) yang melibatkan 48 klasifikasi dan 298 skim perkhidmatan secara lebih tersusun dan berimpak,” ujarnya.

![]()