2 SEPTEMBER 2025 (SELASA) – Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah pada hari ini telah menganjurkan Program Penanaman Pokok Bakau yang diadakan di Kampung Jeruju, Mukim Jerlun bermula seawal jam 7.30 pagi. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif bagi merealisasikan Program Penanaman 2.2 Juta Pokok yang merupakan titah daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman.
Majlis ini telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah. Dalam ucapan beliau, beliau menekankan kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama. Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah telah mengambil inisiatif menanam sebanyak 1,000 batang anak pokok bakau pada hari ini sebagai simbolik sokongan terhadap usaha penghijauan negeri Kedah.
Turut hadir memeriahkan program ini ialah Pengarah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, YBhg. Dato’ Haji Muhamad Arof bin Darus, Setiausaha Jemaah Dato’ Negeri Kedah, YBhg. Dato’ Haji Mohammad bin Che Mai, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh, YB. Encik Mohd Ashraf Mustaqim bin Badrul Munir, serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu, YBrs. Encik Badrulhisham bin Haji Sulaiman. Kehadiran dif-dif kehormat ini telah menunjukkan kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi dan masyarakat dalam menjayakan agenda kelestarian alam sekitar.
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai jabatan kerajaan, swasta, serta pelajar institusi tinggi.
Penanaman pokok bakau ini bukan sahaja dapat mengukuhkan ekosistem pesisir pantai dan mengelakkan hakisan, malah memberi manfaat besar dari segi biodiversiti, rekreasi dan kesejahteraan komuniti. Ia juga menjadi medan pendidikan alam sekitar kepada golongan muda agar terus menyemai rasa cinta kepada alam semula jadi.
Diharapkan penganjuran program ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif hijau di Negeri Kedah. Dengan sokongan kepimpinan negeri, agensi berkaitan, institusi pendidikan serta masyarakat setempat, usaha pemuliharaan hutan bakau diyakini akan terus subur demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.
Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat bagi menjayakan program pada hari ini.

Loading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *