PENDAFTARAN AKAUN PENGGUNA BAGI URUSAN DALAM TALIAN e-TANAH KEDAH

20 OKTOBER 2026 (AHAD) – Portal Awam e-Tanah Kedah akan menyediakan kemudahan pendaftaran akaun pengguna bagi membolehkan orang ramai mengemukakan permohonan urusan tanah secara dalam talian. Pengguna perlu mendaftar akaun terlebih dahulu sebelum menggunakan kemudahan permohonan yang disediakan melalui portal berkenaan. Pelaksanaan Sistem e-Tanah Negeri Kedah yang bakal diperkenalkan merupakan langkah ke arah pendigitalan perkhidmatan pentadbiran tanah negeri.

Loading

KUNJUNGAN HORMAT DAN LAWATAN KERJA BAHAGIAN PENGUATKUASAAN, JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA (JKDM) KE PEJABAT TANAH DAN GALIAN NEGERI KEDAH

20 SEPTEMBER 2026 (AHAD) – Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah telah menerima kunjungan hormat dan lawatan kerja daripada Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada hari ini. Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua agensi, di samping menjadi platform perkongsian maklumat dan pandangan berkaitan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan bersama. Sesi kunjungan turut membincangkan aspek kerjasama antara agensi, pertukaran maklumat serta usaha memperkemas penyampaian perkhidmatan dan penguatkuasaan mengikut bidang kuasa masing-masing. PTG Kedah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM atas kunjungan tersebut. Semoga jalinan kerjasama yang terjalin dapat terus diperkukuh demi memastikan urusan pentadbiran dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat kepada masyarakat.  

Loading

MODUL TERAS SISTEM e-TANAH PERKASA PENGURUSAN TANAH NEGERI KEDAH

30 OGOS 2026 (AHAD) – Transformasi digital dalam pengurusan tanah di Negeri Kedah terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Sistem e-Tanah Negeri Kedah. Sistem ini merangkumi sembilan (9) modul teras yang dibangunkan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan pentadbiran tanah secara lebih cekap, sistematik, telus dan berintegriti. Sembilan modul teras tersebut ialah: Pembangunan Tanah Pelupusan Tanah Pengambilan Tanah Lelong Awam Pendaftaran Penguatkuasaan Strata Hasil Consent Kesemua modul berkenaan saling melengkapi dalam menguruskan pelbagai urusan pentadbiran tanah, bermula daripada permohonan dan pemprosesan sehingga pendaftaran serta penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Pelaksanaan Sistem e-Tanah turut membantu memperkemas proses kerja, meningkatkan ketepatan pengurusan maklumat dan mempercepatkan urusan berkaitan tanah secara digital. Inisiatif ini selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Kedah untuk memperkukuh pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih responsif dan berkesan. Sistem e-Tanah Negeri Kedah diharapkan dapat memberikan manfaat yang menyeluruh kepada rakyat, pemegang taruh dan seluruh warga Pentadbiran Tanah Negeri Kedah, sekali gus menyokong aspirasi transformasi digital sektor awam. e-Tanah — Pendigitalan Pengurusan Tanah Negeri Kedah ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan berkesan. #eTanahKedah #SistemETanah #Digitalisasi #TransformasiDigital #PengurusanTanah #NegeriKedah

Loading

Faedah Pelaksanaan Sistem e-Tanah kepada Kerajaan

30 JULAI 2026 (KHAMIS) – Pelaksanaan Sistem e-Tanah mampu memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan pentadbiran tanah melalui proses urusan yang lebih pantas, teratur dan telus. Sistem ini juga dapat meningkatkan jumlah transaksi hartanah, mengurangkan kos operasi serta membantu meningkatkan prestasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pejabat Tanah. Selain itu, penggunaan teknologi digital dalam urusan tanah berupaya mengurangkan risiko penipuan dan meningkatkan tahap integriti pengurusan. Pelaksanaan sistem ini turut dijangka menarik minat pelabur, meningkatkan kutipan hasil kerajaan serta mempercepatkan proses urusan tanah demi memberikan perkhidmatan yang lebih cekap kepada rakyat.

Loading

PELAKSANAAN SISTEM e-TANAH NEGERI KEDAH DIPERKUKUH MELALUI KERJASAMA STRATEGIK

15 JUN 2026 (ISNIN) – Kerajaan Negeri Kedah terus memperkukuhkan usaha pendigitalan perkhidmatan pentadbiran tanah menerusi pelaksanaan Sistem e-Tanah Negeri Kedah, hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak swasta. Pelaksanaan sistem ini dijayakan melalui model Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership – PPP) yang melibatkan sinergi erat antara Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Kerajaan Negeri Kedah serta syarikat konsesi yang dilantik. Sistem e-Tanah merupakan satu platform digital yang dibangunkan bagi mentransformasikan pengurusan dan pentadbiran tanah secara lebih cekap, telus dan sistematik. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat melalui penggunaan teknologi maklumat yang moden dan bersepadu. Melalui pelaksanaan sistem ini, urusan berkaitan tanah seperti pendaftaran hak milik, urusan pindah milik, gadaian, carian tanah serta pelbagai perkhidmatan lain dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan efisien. Selain itu, sistem ini turut membantu meningkatkan integriti data serta memperkukuhkan tadbir urus pentadbiran tanah di negeri ini. Kedah merupakan antara negeri yang menyertai pelaksanaan Sistem e-Tanah bersama beberapa negeri lain di Malaysia dalam usaha merealisasikan agenda pendigitalan sektor awam dan memperkasakan penyampaian perkhidmatan berteraskan teknologi digital. Pelaksanaan Sistem e-Tanah Negeri Kedah dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat, agensi kerajaan, institusi kewangan, peguam serta pihak berkepentingan yang terlibat dalam urusan berkaitan tanah, sekali gus menyokong pembangunan negeri yang lebih mampan dan berdaya saing.

Loading

PEMBAYARAN CUKAI TANAH SEBELUM 31 MEI 2026

26 MEI 2026 (SELASA) – Kerajaan Negeri Kedah mengingatkan orang ramai supaya menjelaskan bayaran cukai tanah sebelum 31 Mei 2026 bagi mengelakkan sebarang tindakan atau denda lewat bayar dikenakan. Pembayaran kini boleh dilakukan dengan lebih mudah dan cepat melalui Portal iBayaq, kiosk di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah serta seluruh Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Kedah. Selain itu, orang ramai turut digalakkan untuk membuat pembayaran lebih awal bagi memastikan urusan berjalan lancar serta mengelakkan kesesakan pada saat akhir. Langkah ini juga dapat membantu mengelakkan sebarang penalti atau tindakan berkaitan tunggakan cukai tanah.

Loading