24 Julai 2025 (Khamis) – Majlis Penutup Program Pengukuhan Kepimpinan Penolong Pegawai Tanah Negeri Kedah Tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh jayanya di Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, 6RAMD, menandakan berakhirnya sebuah program intensif selama lima hari yang telah diharapkan memberi impak besar kepada pembangunan penjawat awam khususnya dalam perkhidmatan tanah di negeri ini.
Program ini berlangsung dari 20 hingga 24 Julai 2025, telah menghimpunkan seramai 153 orang peserta daripada seluruh Penolong Pegawai Tanah dalam Pentadbiran Tanah Negeri Kedah.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah (Pembangunan), YBrs Puan Amirah Khairiah binti Abdul Latip.,AMK., BCK yang mewakili YBhg. Dato’ Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah.
Dalam ucapan penutupnya, Puan Amirah Khairiah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini, terutamanya pihak 6RAMD , pihak INSPIN dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah atas kerjasama yang diberikan. Beliau menekankan bahawa kejayaan sebenar program ini bukan hanya dilihat pada tahap penyertaan, tetapi pada sejauh mana nilai disiplin, semangat kepimpinan, dan daya tahan yang telah diterapkan mampu dibawa pulang dan diaplikasikan dalam perkhidmatan sebenar.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebagai barisan pelapis Penolong Pegawai Tanah merupakan salah satu nadi kekuatan dalam pentadbiran tanah. Sehubungan itu, Penolong Pegawai Tanah Negeri Kedah perlu menjalankan tanggungjawan dan amanah dalam kerjaya dengan berpaksikan integriti.
Program ini telah membuktikan bahawa pendekatan latihan berasaskan ketenteraan mampu membentuk individu yang lebih bersedia, berdisiplin dan komited dalam menghadapi cabaran tugas yang semakin kompleks dan mencabar.
Semoga segala ilmu, pengalaman dan semangat yang diperoleh sepanjang program ini akan menjadi bekalan yang bernilai dalam usaha memperkasa perkhidmatan tanah negeri Kedah ke arah yang lebih cemerlang.
Taniah diucapkan kepada para peserta yang telah berjaya menghabiskan program ini.






