20 Julai 2025 (Ahad) – Perasmian Program Pengukuhan Kepimpinan Penolong Pegawai Tanah Negeri Kedah Tahun 2025 telah berlangsung di Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah 6RAMD. Program ini akan dijalankan dari 20 sehingga 24 Julai 2025, dengan kehadiran seramai 153 orang peserta dari pelbagai daerah di negeri Kedah. Majlis ini dihadiri oleh YBhg. Dato’ Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, YBhg. Dato’ Haji Muhamad Arof bin Darus, Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Negeri Kedah merangkap Pengurus Besar Inspin, YBrs Puan Sharhida Nazuha binti Saad serta Pegawai Pemerintah, YBhg Lt Kol Wazir Syafiq bin Nodin.
Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pegawai Pemerintah, YBhg Lt. Kol Wazir Syafiq bin Nodin yang menyampaikan kata-kata semangat kepada semua peserta. Dalam ucapan beliau, YBhg Lt. Kol Wazir menekankan pentingnya disiplin, ketangkasan, dan semangat kerjasama yang perlu diterapkan sepanjang program ini. Beliau juga menggariskan latihan-latihan yang akan dijalankan di kem ini akan membantu membentuk para peserta menjadi pemimpin yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi segala cabaran dalam menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat awam.
Seterusnya, program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, YBhg Dato’ Haji Muhamad Arof bin Darus. Dalam ucapan perasmian beliau, YBhg. Dato’ Pengarah menekankan bahawa program ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuhkan aspek kepimpinan di kalangan Penolong Pegawai Tanah, tetapi juga untuk membina kekuatan mental dan fizikal yang amat diperlukan dalam menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan. Beliau berharap agar setiap peserta dapat memanfaatkan latihan ini untuk meningkatkan kemahiran, disiplin, dan semangat juang yang tinggi.
Adalah diharapkan program yang dijalankan di kem ini akan dapat mempertingkatkan kecekapan para peserta dalam menjalankan tugas mereka, dalam pada membentuk jati diri yang cekap, berdisiplin, serta mampu bekerja secara berpasukan dalam persekitaran yang penuh cabaran.
Semoga dengan adanya program seperti ini, para peserta dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh untuk terus berkhidmat dengan cemerlang dan memberi impak yang positif.







