4 MEI 2025 (AHAD)
Pentadbiran Tanah Negeri Kedah telah mengadakan satu sesi libat urus bersama para pembayar cukai tanah di seluruh negeri Kedah pada hari ini bertempat di Dewan As-Sakinah, Majlis Bandaraya Alor Setar. Sesi ini diadakan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas secara langsung daripada rakyat berkenaan cadangan semakan semula kadar cukai tanah di negeri ini.
YBhg. Dato’ Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Ybhg. Dato’ Haji Muhamad Arof bin Darus telah hadir ke sesi ini bersama-sama Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah (Pembangunan), Puan Amirah Khairiah binti Abdul Latip serta Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah (Pendaftaran), Puan Zulfatul Husna binti Zakaria.
Sesi ini merupakan langkah penting susulan kelulusan dasar yang diberikan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) pada 7 Februari 2024. Melalui kelulusan ini, Pentadbiran Tanah Negeri Kedah telah diberi mandat untuk menubuhkan beberapa jawatankuasa yang akan mengkaji serta mencadangkan semakan terhadap kadar cukai tanah, premium pelupusan tanah, fi lesen pendudukan sementara, fi pejabat dan fi lain yang berkaitan serta pindan kepada Kaedah-Kaedah Tanah Negeri Kedah.
YBhg. Dato’ Pengarah Tanah dan Galian memaklumkan bahawa semakan kadar cukai tanah boleh dilaksanakan setiap sepuluh tahun sekali berdasarkan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828), dengan syarat mendapat kelulusan daripada Majlis Tanah Negara (MTN). Kali terakhir semakan dilaksanakan di Negeri Kedah adalah pada tahun 2016. Maka, menjelang tahun 2026, telah genap 10 tahun tempoh semakan terakhir dijalankan.
YBhg. Dato’ Pengarah Tanah dan Galian menyatakan bahawa objektif utama sesi ini adalah untuk memberi makluman awal kepada pembayar cukai agar bersiap sedia menghadapi pelaksanaan kadar cukai tanah baharu yang dijangka bermula 1 Januari 2026. Selain itu, sesi ini turut memberi ruang kepada rakyat untuk berkongsi pandangan agar semakan kadar baharu ini lebih adil dan mengambil kira situasi sebenar rakyat dari pelbagai lapisan. Sesi ini juga penting bagi mewujudkan suasana kesepakatan antara pihak kerajaan dan pembayar cukai dalam membuat keputusan yang melibatkan kepentingan bersama.
YBhg. Dato’ Pengarah Tanah dan Galian turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kedah sentiasa komited dalam memastikan dasar cukai tanah yang dilaksanakan adalah mesra rakyat, berpaksikan keadilan, serta selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Negeri Kedah sebagai “Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti.”
Dalam sesi ini juga, pelbagai sektor yang terlibat diberi peluang untuk menyuarakan pendapat dan saranan masing-masing mengenai pengenaan kadar cukai yang baharu ini. Segala input yang dikumpulkan akan dijadikan asas penting kepada Jawatankuasa Komponen Cukai Tanah dalam merangka cadangan akhir sebelum ia dibentangkan semula kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) untuk kelulusan.
Terima kasih diucapkan kepada semua pembayar cukai yang telah hadir dan memberikan kerjasama serta saranan bagi membina masa depan Negeri Kedah yang lebih progresif.
“HASIL UNTUK PEMBANGUNAN
“