13 FEBRUARI 2025 (KHAMIS)
Program Amanat YAB Menteri Besar Kedah kepada Pentadbiran Tanah Negeri Kedah Tahun 2025 telah diadakan di Dewan Seri Mentaloon pada hari ini.
Turut hadir bersama dalam program ini adalah Pegawai Kewangan Negeri Kedah, YB. Dato’ Wira Haji Syed Khairol Anuar bin Syed Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, YB. Tuan Saifulrijal bin Azhari, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YBhg. Dato’ Mohd Fauzi bin Mustaffa, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, YBhg. Dato’ Haji Muhamad Arof bin Darus, Pentadbir-Pentadbir Tanah Daerah, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta warga kerja Pentadbiran Tanah Negeri Kedah.
Dalam amanat beliau, YAB Menteri Besar Kedah telah merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga kerja Pentadbiran Tanah Negeri Kedah di atas kejayaan melaksanakan kutipan hasil berjumlah RM447.44 juta pada tahun 2024. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 20.27% iaitu bersamaan RM90.69 juta pada tahun 2023. Bagi tahun 2025 pula, Kerajaan Negeri Kedah mensasarkan anggaran kutipan hasil keseluruhan berjumlah RM518 juta.
Selain itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah yang telah terpilih daripada 70 agensi yang telah dinilai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menerima Anugerah Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) 2024 Peringkat Negeri bertempat di Auditorium Bangunan SPRM, Putrajaya.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada warga kerja Pentadbiran Tanah untuk terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri iaitu “Kedah tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya menabur bakti”.
Dalam program ini juga, Majlis Penyerahan Cek BayaranCukai Tanah Tahun 2025 oleh 14 buah syarikat dan GLC yang telah menjelaskan bayaran cukai tanah bagi tahun 2025 berjumlah RM17.4 juta dan penyampaian cek Insentif Penghargaan Kutipan Hasil Tahun 2024 kepada seluruh Pentadbiran Tanah Negeri Kedah sebanyak RM3,000.00 bagi setiap daerah juga turut diadakan.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada GLC, syarikat danagensi yang telah menjelaskan cukai tanah bagi tahun 2025 kepada kerajaan negeri.